KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) memberi tumpuan berterusan kepada tenaga hidro dengan Projek Hidroelektrik Baleh 1285MW, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.

Menurutnya, projek mega tersebut dijangka siap 2026 dan terowong pengalihan siap pada Oktober tahun ini, yang merupakan antara pakej penting dalam pembinaan empangan utama berkenaan.

Selain itu, SEB juga memperkuat sistem bekalannya pada grid utama 500kV dan juga projek Penyambungan Grid Utara menghubungkan kawasan di utara Sarawak ke grid utama.

“Projek Penyambungan Grid Utara yang dilaksanakan secara berperingkat ini akan diperluaskan jaringan transmisi ke seluruh Sarawak dan mewujudkan suntikan potensi eksport kuasa ke Sabah bagi merealisasikan Jaringan Borneo,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berkongsi perjalanan transformasi Sarawak Energy dalam sesi kemas kini tahunan media di sini.

Sharbini menjelaskan, dalam meneruskan perbincangan eksport tenaga, Sarawak Energy menandatangani Lembaran Jangka dengan Sabah Electricity pada 21 Oktober lalu.

“Tanda tangan ini adalah untuk menetapkan niat bagi penyambungan selesai pada 31 Mei 2023 untuk 30-50MW bagi tempoh 15 tahun.

“Ini perkembangan positif mendekatkan kita merealisasikan Borneo Grid dan kemudian berkembang menjadi penyedia tenaga utama wilayah ini,” kata Sharbini.

Syarikat juga mengambil langkah transformatif dalam mengubah cara kakitangan bekerja agar tetap efisien dan mencari jalan untuk merebut peluang daripada mengurus krisis yang memberi pulangan positif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power James Ung berkata, pembangunan tenaga hidro menyokong pertumbuhan industri Sarawak.

Menurutnya, sektor ini mewujudkan peluang pekerjaan dan membolehkan rakyat Sarawak menikmati tarif kuasa terendah di Malaysia dan antara yang terendah di rantau ini.

“Tumpuan Sarawak terhadap tenaga hidro meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan tenaga.

“Ia sekali gus memperkuat cita-cita Sarawak mencapai status negeri maju pada 2030 melalui perindustrian hidro dari Score sambil memberikan asas untuk mempercepat bekalan elektrik luar bandar, bagi memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari PBB (UN SDG) berkaitan akses kepada tenaga boleh diperbaharui dan sistem kuasa moden,” jelasnya.

Loji hidroelektrik Sarawak juga kata James, terbukti berjaya mengurangkan bencana banjir di kawasan hilir sungai semasa hujan lebat yang tidak bermusim dengan menahan sejumlah besar air hujan sepanjang tahun.