DALAT: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan penyandang Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) kelak.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS tidak menolak kemungkinan terbabit apabila Dalat bekembang maju di bawah Fatimah.

“Kita lihat apa yang berlaku di Dalat di bawah pentadbiran Fatimah, permohonan nya dapat malah semua dapat…jadi sokonglah Fatimah,” ujarnya.

Tambahnya sambil berseloroh, “Nanti ada pula pihak menulis – calon (PRN-12) Dalat adalah Fatimah.

“Tetapi memanglah (mencalonkan Fatimah) … Insya Allah.” katanya lagi ketika berucap pada Majlis Perasmian Dalat Waterfront 2 dan Bangunan Bazaarnita Fatima di sini, hari ini.

Fatimah merupakan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kini memegang portfoliosebagai Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak.

Beliau sudah menjadi Adun Dalat selama empat penggal sejak 2001.

Sementara Abang Johari baru-baru ini menyatakan PRN-12 ditetapkan tahun hadapan, namun tarikhnya masih belum difikirkan, sama ada pada awal tahun atau sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak matang pada Jun tahun depan.