KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengarahkan semua syarikat bas ekspres di seluruh Sarawak harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bermula semalam.

Pemangku Pengerusi JPBNS Tan Seri James Jemut Masing berkata, syarikat bas tempatan harus memastikan pekerja asing yang ingin membeli tiket bas masuk ke Sarawak mempunyai pasport yang sah.

“Pemandu bas harus memastikan tidak mengambil penumpang terutamanya pekerja asing di sepanjang perjalanan di seluruh Sarawak.

“Agensi penguatkuasaan yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  diminta secara rawak melakukan pemeriksaan mengejut di tempat perhentian bagi mengesan pekerja asing di negeri ini.

“Sekiranya terdapat bas ekspres  mengangkut pekerja tanpa izin, tindakan tegas akan diambil ke atas syarikat bas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegasnya, JPBNS memerlukan kerjasama penuh daripada semua syarikat bas supaya mengambil serius terhadap arahan tersebut berdasarkan keputusan mesyuarat semalam.