KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil serius masalah pengisian semula mesin ATM yang memberi kesan kepada pekan kecil di Sarawak, kata Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

“Kementerian Kewangan perlu melihat masalah ini dengan lebih teliti. Sebagai contoh, pekan Bekenu di kawasan Sibuti mempunyai dua mesin ATM yang dimiliki oleh Bank Rakyat dan Agro Bank, tetapi pengguna tidak dapat mengeluarkan wang mereka kerana pengisisan semula wang ke dalam mesin itu mengambil masa yang lama,” katanya.

Sementara itu beliau menyambut baik inisiatif untuk melancarkan perkhidmatan bank bergerak yang mempunyai kemudahan mesin ATM di kawasan pedalaman di seluruh Sarawak pada penghujung Januari tahun depan.

“Saya percaya ia perlu dipercepatkan kerana banyak inisiatif kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan bantuan kebajikan akan mula disalurkan pada Januari,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau turut meminta bank mempertimbangkan pembangunan setempat iaitu pekan kecil kini dilengkapi dengan jaringan Internet yang membolehkan mesin ATM dipasang.

“Isu mengenai ATM dan perbankan di pedalaman sering saya suarakan dan jawapan yang diberikan sentiasa mengecewakan apabila saya menggesa penyediaan mesin ATM kekal selain ATM bergerak.

“Pelaksanaan mesin ATM bergerak akan meningkatkan penyaluran bantuan kerajaan dan memendekkan waktu menunggu di bank yang perlu dilalui oleh penduduk di kawasan bandar,” ujarnya.

Menurutnya, dalam persidangan parlimen pada Julai lalu, ahli parlimen di kawasan pedalaman berbincang dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank lain berkaitan penyediaan perkhidmatan perbankan di kawasan mereka.