KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bersedia dengan pasarana digital untuk pembayaran zakat, selaras dengan matlamat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memartabatkan ekonomi digital.

Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abg Mohd Nailie berkata, TBS sudah lama terlibat dalam aplikasi digital untuk bayaran atau bantuan secara dalam talian dan terkini menerusi Ummah Distribution Centre (UDC) di Medan Hamidah.

“UDC merupakan satu manifestasi ekosistem baitulmal sebagai sistem penyampaian bersepadu untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada masyarakat berkenaan pemberian dan penerimaan zakat.

“Dengan adanya UDC, masyarakat berpeluang untuk menyumbang bayaran hanya menggunakan pembayaran secara dalam talian,” katanya ketika menghadiri sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan melalui zoom di Bilik VIP Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini pada Khamis.

Abang Mohd Shibli berkata, UDC merupakan pendekatan Baitulmal untuk mengadaptasi norma baharu. Ujarnya, menerusi pembayaran secara dalam talian, hasil sumbangan akan disalurkan melalui bentuk barang keperluan harian.

“Masyarakat dapat menyaksikan sendiri bentuk sumbangan dihulurkan kepada mereka yang memerlukan dari segi barang makanan, beg sekolah, kasut sekolah, peralatan untuk orang cacat dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa UDC bakal diperluaskan ke zon tengah – Sibu dan zon utara – Miri.

Selain UDC, TBS turut menyediakan pelbagai bantuan secara dalam talian yang dapat dipohon melalui portal Baitulmal Kamek dan beberapa pejabat cawangan TBS.