KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan meneruskan perlaksanaan Program Tarif Tambang Bas RM1 sehingga tahun hadapan bagi memberikan manfaat kepada lebih ramai pengguna.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, sejak program dilancarkan tujuh bulan yang lalu telah mendapat sambutan hangat daripada orang awam dengan peningkatan penumpang seramai 12,657 pada bulan Mei sehingga 197,686 pada bulan November.

“Inisiatif itu diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Selain itu, program itu bertujuan untuk mendorong lebih ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas bandar dan pencemaran alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, melalui cadangan memperluaskan perkhidmatan bas, program itu akan diperluas ke Bintulu bermula awal 2021 supaya lebih ramai rakyat di negeri ini menikmati manfaat program berkenaan terutamanya kawasan luar bandar.

Jelasnya, untuk usaha itu pihak kementerian bersama agensi lain seperti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH) dan pihak berkuasa tempatan untuk membaiki infrastruktur yang berkaitan termasuk menaik taraf dan membina stesen bas baru dan perhentian bas.

Menurutnya, program Perubahan Kesedaran Tingkah Laku (ABC) akan dilaksanakan tahun hadapan untuk mendorong lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan bas awam untuk pergi ke tempat kerja, turun ke sekolah dan urusan lain.

“Sistem bas yang baik akan mewujudkan rakyat bandar dan luar bandar yang lebih selesa terutamanya golongan B40 dan berharap perkhidmatan bas akan lebih inklusif kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.