KUCHING: Pemasangan WiFi Kamek di kawasan Tanjong Embang jelas membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam menerapkan budaya pendigitalan dalam kalangan masyarakat.

Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, tindakan ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang mahu setiap rakyatnya termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mendapat akses Internet.

“Pemasangan WiFi Kamek secara percuma oleh Kerajaan Sarawak menerusi SMA di Tanjong Embang ini membuktikan inisiatif kerajaan di bawah Gabungan Pasti Sarawak (GPS) berteraskan hak rakyat Sarawak diutamakan.

“WiFi Kamek membolehkan beberapa kampung di Tanjong Embang seperti Kampung Tiang Api, Kampung Beradek, Kampung Semilang, Kampung Beradek Cina dan Kampung Sungai Pinang menerima akses Internet,” katanya ketika mengulas mengenai pemasangan Wifi Kamek di Tanjong Embang pada Khamis.

Beliau turut berharap agar kewujudan WiFi Kamek ini membolehkan penduduk di Tanjong Embang dapat merancakkan lagi aktiviti pendigitalan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dengan adanya kemudahan wifi percuma ini akan merancakkan lagi usaha ke arah pendigitalan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sosioekonomi.

“Ini sejajar dengan aspirasi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu menjadikan Sarawak sebagai ekonomi digital dengan setiap masyarakatnya celik digital,” ujarnya lagi.

Penduduk di kawasan Tanjong Embang kini tidak lagi tersisih dengan dunia digital, selepas pemasangan WiFi Kamek oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di kampung tersebut.