LUNDU: Empat warga Indonesia ditahan selepas cuba memasuki Sarawak menerusi jalan tikus di sempadan Sarawak-Kalimantan di Kampung Raso semalam.

Mereka yang menaiki dua buah motosikal ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak sekitar jam 5.54 petang.

Komander PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati hanya dua daripada suspek mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Dua daripada suspek pula gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan perjalanan.

“Kesemua mereka seterusnya diarahkan oleh ketua pasukan operasi untuk berpatah balik menggunakan laluan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha berkata mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155).

Tambahnya, PGA Sarawak akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan khususnya jalan-jalan tikus dalam membendung kemasukan secara haram pendatang asing tanpa izin (Pati).

PERIKSA… Keempat-empat warga Indonesia diperiksa sebelum diarahkan berpatah balik.