DALAT: “Sehati sejiwa, berakar rumbia berintegrasikan budaya, jika bukan kita siapa lagi,” itu tegas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mengenai nilai kesatuan dalam masyarakat Dalat penting demi kemajuan Dalat.

“Sesungguhnya pembangunan yang dikecapi Dalat hari ini adalah hasil nilai kebersamaan yang ada dalam diri masyarakat di sini.

“Melalui nilai kebersamaan ini, apa-apa yang kurang kita dapat bersama-sama usahakan, contohnya usaha mengindahkan Tebingan Dalat Fasa 2 ini juga adalah hasil kerjasama setiap penduduk kampung di Dalat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Tebingan Dalat dan Bazarnita Fatima Dalat di sini semalam.

Beliau yang juga Adun Dalat berkata, di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Dalat kini telah mula berkembang pesat dan maju dengan pelbagai kemudahan infrastruktur.

“Pembinaan dan perasmian Tebingan Dalat pada hari ini (semalam) bukanlah satu kebetulan kerana projek ini telah dicadang oleh beliau semasa memegang portfolio Menteri Pelancongan pada 2017.

“Kini beliau sebagai Ketua Menteri telah hadir bersama-sama kita bagi merasmikan sendiri Tebingan Dalat termasuklah Bazarnita pada hari ini (semalam), ia cukup signifikan,” ujarnya lagi.

Tambahnya kini sebanyak sembilan projek telah dan sedang dibangunkan di Dalat secara keseluruhannya berjumlah RM159.89 juta di bawah Kerajaan Sarawak.

“Sembilan projek dibangunkan di Dalat melibatkan Projek Pengindahan Kawasan Tebingan Dalat Fasa 2 yang telah siap (Rm4.34 juta) termasuk projek Galeri Warisan Melanau Oya (RM3.7 juta), dan peruntukan untuk kelengkapan dalaman Bangunan Galeri Warisan Melanau Oya (RM1.95 juta sedang dalam perancangan).

“Keempat ialah Projek Institusi Teknikal Centexs Kampus Dalat bernilai RM50 juta (dijangka siap pada Oktober 2022), Pembinaan Baru Bangunan Pejabat Daerah Kecil Oya (RM5 juta), baik pulih bangunan Pejabat Daerah Kecil Oya sementara dan baik pulih berek untuk Balai Polis PDRM di Oya (RM500,000).

“Antara projek lain kini ialah membesar jalan bagi tujuan parkir Pekan Sabtu (RM500,000), projek menambah baik bekalan Air Daerah Dalat melalui Sawas di Kampung Klid dan Kampung Narub, termasuk Nanga Baoh dan Sungai Kut (RM 49.5 juta) termasuk pembinaan Jalan Medong, Lebrasau dan di Kampung Klid (RM44.4 juta dijangka siap pada 2022,” jelasnya lagi.

Malah kini ujarnya melalui kewujudan Kios Belia Tebingan Dalat (DWF) yang disediakan hasil sumbangan SEDC melalui projek tanggungjawab sosial koporat (CSR), belia di Dalat kini dapat berniaga di tebingan tersebut.

“Pelbagai aktiviti sampingan dapat diadakan bagi menghidupkan Tebingan Dalat berkenaan,” tambahnya.