PADAWAN: Kaum Bidayuh yang telah berjaya dalam bidang keusahawanan harus membantu satu sama lain. Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil berkata, bidang keusahawanan bukanlah budaya bagi kaum Bidayuh kerana ia memerlukan pengetahuan pentadbiran dan pengurusan.

Justeru katanya, usahawan Bidayuh yang telah berjaya perlu berkongsi kisah kejayaan mereka dalam perniagaan serta membimbing bakal usahawan Bidayuh lain.

Tambah Jerip, mereka boleh membimbing bakal usahawan Bidayuh melalui bengkel dan latihan. “Bagi Bidayuh, ini bukan budaya kita tetapi tidak bermakna kita tidak boleh berusaha untuk menjadi usahawan berjaya.

“Oleh itu kita memerlukan pengalaman dan latihan daripada usahawan yang berjaya, niat dalam diri sendiri serta mengetahui cara pengurusan dan pentadbiran dalam perniagaan untuk berjaya,” katanya sambil menambah dana dan kerjasama pelbagai pihak juga penting untuk menjadi usahawan berjaya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Program Keusahawanan anjuran Persatuan Usahawan Bidayuh Penrissen (PUBP) di Gereja St Paul, Kampung Benuk pada Sabtu.

Adun Mambong itu memberitahu, sikap cemburu dan suka menjatuhkan antara satu sama lain itu harus dielakkan kerana ia tidak memberi sebarang keuntungan kepada kaum Bidayuh.

Kata Jerip, usahawan Bidayuh juga boleh menimba ilmu daripada usahawan daripada kaum lain yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing. Dalam pada itu beliau memberitahu, usahawan Bidayuh harus memanfaatkan peluang yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

“Persekutuan Persatuan Dayak Bidayuh (DBNA) akan mempunyai hostel yang memberi peluang kepada anak Bidayuh menceburi bidang pelancongan, perkhidmatan, makanan dan minuman.

“Pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan. Justeru, peluang ini harus dimanfaatkan sepenuhnya,” ujarnya. Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik dan Pengerusi PUBP Jores Sidek.