KUCHING: Pelbagai khazanah budaya Melanau dicadang untuk ditempatkan di Wisma Melanau Kuching, pada masa akan datang.

Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak Datuk Aidan Wing berkata, ia untuk memupuk semangat masyarakat kaum itu dalam mengekalkan budaya tradisi secara turun-temurun.

“Persatuan Melanau Kuching telah mencadangkan agar sebuah belanga turut dibangunkan di bahagian dapur wisma ini. “Projek ini telah mendapat sokongan kami untuk direalisasikan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Adat Melanau dari aspek Budaya Benda – Belanga di Wisma Kuching pada Sabtu.

Menurutnya, pembinaan belanga itu akan dijadikan sebagai produk industri pelancongan di sekitar Kuching. Projek itu akan disusuli dengan penghasilan beberapa produk lain termasuk bahan untuk memproses tebaloi, linut dan sebagainya.

Sementara itu, penceramah jemputan Dr Jeniri Amir menyifatkan usaha yang dijalankan itu dapat meningkatkan ke-sedaran dan pemahaman peserta dalam mempertahankan budaya benda dalam kalangan masyarakat.

Jelas beliau, melalui program itu, peserta dapat bertukar-tukar pendapat mengenai isu yang dibincangkan untuk lebih difahami.

“Saya percaya bahawa ini adalah langkah yang baik untuk memastikan semua pihak dapat mewujudkan jati diri Melanau dalam konteks sosial, ekonomi dan hal-hal berkaitan sagu dan rumbia.

“Kita juga berhasrat untuk mempelbagaikan produk ini untuk dipromosikan bukan sahaja di Sarawak malah di luar Sarawak,” katanya lagi.

Beliau mendedahkan bahawa bengkel seperti itu akan tetap diteruskan untuk memupuk semangat masyarakat dalam membuat kajian secara serius mengenai budaya agar dapat didokumentasikan dalam pelbagai bentuk.