KUCHING: Dua roda belakang menjadi penyelamat seorang pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan kendiri di atas jejambat Jalan Satok hari ini.

Kereta jenis Naza KIA yang dipandunya hampir terjunam ke bawah jejambat yang berketinggian sekitar enam meter namun masih tersangkut pada besi penghadang.

Kemalangan kendiri itu berlaku selepas keretanya dikatakan hilang kawalan ketika melalui jalan terbabit sekitar jam 2 petang lalu terbabas ke sebelah bahu kiri jalan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, pihak bomba yang berada di lokasi hanya menstabilkan kenderaan sehingga kereta penunda tiba ke lokasi kejadian.

Insiden tersebut telah menyebabkan kesesakan teruk membabitkan pengguna lalu lintas dari Petra Jaya menuju ke pusat bandar.

DETIK CEMAS… Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan