JITRA: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau secara dekat sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, bagi memastikan tiada isu yang akan ‘terlepas pandang’ oleh kementerian itu.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, susulan itu pihaknya sering turun padang dan melihat sendiri apakah keperluan segera di sekolah-sekolah berkenaan, demi keselesaan warga sekolah khususnya pelajar.

“Walaupun ada dalam senarai (bangunan sekolah daif), kadang-kadang ada keperluan mendesak yang perlu didahulukan dan perkara inilah yang perlu sentiasa diteliti dari semasa ke semasa.

“Bangunan sekolah ini (strukturnya) tidak statik (kekal kukuh), kadang-kadang bila terkena banjir misalnya, bangunan akan menjadi daif,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar terpilih di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam di Napoh, dekat sini semalam.

Menurut beliau antara negeri yang paling banyak mempunyai bangunan sekolah yang daif ialah di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu ketika berucap pada majlis berkenaan, Radzi berkata KPM akan sentiasa melihat apakah pendekatan atau kaedah yang boleh dilaksanakan, dalam memastikan semua pelajar mendapat kualiti pendidikan yang lebih baik daripada sekarang.

“Kita ada satu sistem pendidikan yang masih ada ruang yang perlu dikukuhkan dan ada peluang yang perlu diambil, untuk memastikan anak-anak dapat belajar dan dididik dalam satu sistem pendidikan yang hebat dan bertaraf dunia,” katanya.