KUCHING: Walaupun buta, namun ia tidak menjadi penghalang bagi sepasang suami isteri, Tazlan Jen dan Nur Atirah Voon Abdullah menjadi penderma darah.

Setakat ini, kedua-duanya sudah tiga kali tampil menderma darah sempena kempen derma darah yang dianjurkan di sini.

Terkini pada Sabtu lalu sempena kempen anjuran Jabatan Kesihatan Negeri, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
(PBSM) Sarawak dan Tay Motors di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini.

Menurut Tazlan, 53, dan Nur Atirah, 33, menderma darah sememangnya menjadi hasrat mereka sejak dulu lagi tetapi tidak yakin dengan prosesnya.

Menceritakan perjalanan menjadi penderma darah, Tazlan berkata, ia bermula apabila mereka yang mengendalikan
pusat urut dan refleksologi dipelawa oleh seorang pelanggan.

“Kebetulan salah seorang pelanggan kami adalah penderma darah dan dia bertanya sama ada kami ingin menderma darah.

“Sejak itu, kami sangat teruja dan telah menyertainya menderma darah,” katanya ketika ditemubual.

Tazlan berkata, niat dan tujuan dia dan isteri mahu menderma darah adalah untuk membantu orang yang memerlukan.

“Kami mahu menolong mereka yang memerlukan darah kerana mungkin suatu hari nanti kami juga akan memerlukan bantuan yang sama,” katanya.

Dia berkata, mereka gembira dapat memainkan peranan membantu masyarakat dan bersedia menyertai lebih aktiviti derma darah pada masa akan datang.

Menceritakan mengenai dirinya Tazlan berkata, dia dilahirkan dengan penglihatan yang normal dan pernah menjadi pekerja pembalakan sebelum buta pada usia 25 tahun akibat kerosakan saraf.

Dia kemudian dibawa menjalani latihan pemulihan dan vokasional di Pusat Latihan Gurnei untuk orang buta di Kuala Lumpur dengan bantuan Jabatan Kebajikan Negeri.

Setelah menjalani latihan, dia bekerja di pusat urut di Batu Lintang sebelum membuka pusat urut dan refleksologi bersama-sama isterinya, yang kini sudah selama 12 tahun.

Manakala Nur Atirah menghidap glaukoma pada usia 11 tahun.

Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan tiga anak.

Pusat urut Tazlan terletak di tingkat 2, Blok DF 313 di Jalan Batu Kawah. Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan Tazlan dan Nur Atirah boleh menghubungi Tazlan di 013- 8117002 atau Nur Atirah di 013- 8117311 untuk membuat janji temu.