KUCHING: Masalah capaian Internet yang lemah di seluruh Sarawak perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, kata Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Parkash Abdullah.

Menurutnya, walaupun isu mengenai meningkatkan capaian Internet menjadi topik hangat di seluruh negeri sejak penularan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu, namun guru di sekolah masih berhadapan dengan masalah yang sama untuk berhubung dengan pelajar di rumah khususnya di kawasan pedalaman.

“Ada sekolah tidak mendapat capaian Internet yang baik,” katanya pada sidang media Persidangan Perwakilan Dwitahunan STU Ke-25 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara STU dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di sini, semalam.

Beliau menambah, kisah pelajar mendaki bukit atau memanjat pokok hanya untuk mendapatkan capaian Internet bukan perkara baharu.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku lagi.

“Saya rasa sudah tiba masanya penyediaan perkhidmatan Internet ke sekolah menjadi keutamaan.

“Disebabkan pendidikan penting untuk pembangunan modal insan dan sumber manusia, kita perlu memperluaskan capaian Internet di sekolah untuk memudahkan pelajar dan guru,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adam turut menyarankan kerajaan menyediakan elaun data Internet kepada guru untuk membantu mereka mengadakan kelas dalam talian.

“Kadangkala capaian Internet di sekolah lemah dan tidak laju untuk digunakan oleh guru sehinggakan kami menggunakan data sendiri untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kadangkala, ia akan membebankan guru dari segi kos kerana guru meluangkan banyak masa untuk mengajar dan berbincang bersama-sama pelajar dalam talian termasuk melakukan beberapa aktiviti bersama-sama pelajar mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, Adam berharap kerajaan dapat menyediakan elaun data Internet untuk guru terutama dalam tempoh yang mencabar kini.