SETIAP kali menjelang musim perayaan berlaku isu harga barang keperluan naik, gara-gara segelintir peniaga yang mengambil kesempatan, ketika masyarakat sibuk membuat persiapan masing-masing.

Malah ia turut berlaku pada musim bukan perayaan, sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum bagi menangani kenaikan harga barang keperluan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika sebelum ini skim tersebut dilaksanakan setiap kali musim perayaan, tetapi kerajaan memutuskan ia dilaksanakan dengan senarai barang yang terlibat akan diumumkan oleh kementerian berkaitan.

Pelaksanaan terbaharu KPDNHEP, ialah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan di seluruh negara.

Pihak kerajaan mengambil serius isu ini, kerana ia berlaku seiring dengan Covid-19. Jika tidak ditangani dengan baik, ia akan memberikan beban berganda kepada rakyat.

Ini kerana sekarang ini, kebanyakan rakyat mengalami krisis kewangan, ekoran hilang pekerjaan, atau gaji dipotong oleh majikan.

Oleh itu, kenaikan harga barang keperluan pasti akan memberi tekanan kepada golongan ini, yang sudah pun terjejas pendapatan sejak wabak Covid-19 ini.

Sambutan Krismas bagi golongan ini pastinya agak suram, jika harga barangan keperluan terus melonjak di pasaran.

Yang pasti, Krismas kali ini pasti diraikan secara sederhana dan masyarakat akan menyambutnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana situasi yang sama berlaku ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak sebelum ini. Oleh itu, inisiatif KPDNHEP melaksanakan SHMMP Krismas 2020 dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah.

Skim tersebut akan bermula pada 22 Disember hingga 31 Disember.

Tempoh ini amat memadai untuk masyarakat Kristian membuat persiapan.

Tempoh penguatkuasaan SHMMP KRISMAS ialah selama 10 hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan.

Permintaan terhadap barangan semasa perayaan Krismas meningkat berbanding hari biasa.

Sebanyak 19 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 ini iaitu kategori barangan harga terkawal seperti ayam, telur ayam, sayuran dan daging kambing.

Oleh itu penulis berharap skim ini akan memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus membendung tindakan nakal para peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa yang sama pemantauan dari semasa ke semasa juga akan membantu menangani permasalahan ini, serta hukuman yang setimpal kepada mereka yang bersalah.