KUCHING: BigPay melancarkan ciri Pembayaran Bil baharu iaitu penggunanya boleh membayar bil daripada lebih 20 syarikat daripada telekomunikasi kepada pembekal tenaga dengan mudah. Dilancarkan di Kuala Lumpur semalam, pengguna boleh menetapkan peringatan pembayaran, menyimpan maklumat transaksi dan mambahagikan bil dengan mudah dalam satu aplikasi.

Ciri ini bukan sahaja menawarkan nilai dan pilihan lebih baik kepada semua penggunanya, malah membantu mereka merancang perbelanjaan.

Pengasas Bersama BigPay Salim Dhanani dalam satu kenyataan berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan pasaran kewangan dengan ciri Pembayaran Bil.

“Pelancaran ini membawa kami selangkah lebih dekat untuk menjadi penyelesaian sehenti bagi keperluan kewangan pengguna kami.

“Tahun 2021 bakal menjadi tahun yang mengujakan untuk BigPay kerana kami melancarkan produk dan ciri-ciri baharu seperti pinjaman digital, insurans dan pengurusan kekayaan.

“Kami tidak sabar untuk menawarkan semua ini kepada komuniti kami yang semakin berkembang,” jelasnya.

Lebih 20 syarikat kini tersedia untuk pembayaran melalui aplikasi BigPay termasuklah telekomunikasi, pembekal Internet, air dan elektrik seperti Astro, Celcom, Telekom Malaysia, Air Selangor, Sabah Electricity, Sarawak Energy Berhad dan banyak lagi.

BigPay akan terus menambah senarai syarikat supaya para pengguna boleh mengawal dan menguruskan kewangan mereka dengan mudah.

Untuk mengakses ciri Pembayaran Bil di aplikasi BigPay, pengguna hanya perlu klik pada pilihan ‘Pembayaran’ daripada skrin utama, pilih syarikat berkenaan dan masukkan butiran yang diminta.

Setelah pengesahan transaksi dilakukan dengan nombor pin, akaun pengguna akan didebitkan.

Para pengguna juga boleh menyimpan butiran pembayaran bil di tab ‘Simpanan Bil’ dan mereka tidak perlu memasukkan semula nombor akaun bil untuk membuat pembayaran.

Keseluruhan proses ini selamat dan memerlukan beberapa langkah keselamatan, termasuklah Pin Kata Kunci Sekali Sahaja (OTP).

Pengguna BigPay dinasihati tidak berkongsi sebarang maklumat sulit seperti kata laluan, OTP dan nombor kad pengenalan kepada sesiapa sahaja melalui sebarang panggilan telefon atau mesej yang mungkin diterima terutamanya dari aplikasi sembang seperti WhatsApp.