DALAM kepesatan dunia hari ini, media sosial menjadi medium utama setiap individu untuk mendapat dan menyebarkan maklumat di samping meluah pandangan dan mengekspresikan perasaan masing-masing.

Data terkini menunjukkan bahawa Malaysia menduduki senarai kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih.

Menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019, penembusan Internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus.

Pengguna Internet negara ini dilaporkan meluangkan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.

Laporan juga mendedahkan selama dua jam 59 minit digunakan oleh rakyat Malaysia untuk melayari media sosial.

Malahan Malaysia menduduki tempat keempat dunia dalam penembusan sosial mudah alih.

Malaysia juga mempelopori negara di Asia Tenggara, termasuk Singapura, di tangga keenam, diikuti Thailand (lapan) dan Filipina (10).

Tidak sekadar itu, Internet dan media sosial juga mengubah pola interaksi manusia yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil tetapi hari ini menjadi sebaliknya.

Dalam peniagaan dunia maya misalnya, 75 peratus pengguna Internet di negara ini membelanjakan wang mereka untuk e-dagang, manakala 58 peratus membelanjakan wang untuk platform dagang mudah alih.

Realitinya, ledakan teknologi moden ini memberi impak yang amat besar terhadap kehidupan masyarakat tanpa mengira usia dan kedudukan.

Pasti ada yang merindui suasana riuh kanak-kanak bermain di luar rumah, tanpa gentar berkulit gelap, berhujan panas bermain permainan tradisional dan sebagainya.

Namun suasana hari ini berbeza apabila mereka lebih terdedah kepada penggunaan peralatan teknologi Internet dan telefon pintar.

Dalam sisi lain pula, nilai adab dan moral masyarakat terhakis sedikit demi sedikit tanpa disedari.

Menggunakan media sosial sebagai platform untuk meluah emosi, apabila terlampau marah, terkeluarlah segala caci maki dan begitu juga sebaliknya.

Itu tidak termasuk menyebarkan berita tidak benar, fitnah, mengaibkan orang lain dan seumpamanya.

Justeru tidak hairan jika Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memfailkan sebanyak 48 tuduhan terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial bagi tempoh antara Januari sehingga September tahun ini.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus iaitu lebih tinggi berbanding pada tahun 2019.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 34 pertuduhan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dengan perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 22 pertuduhan.

Ini diikuti pula dengan kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan serta kandungan palsu tiga pertuduhan.

Manakala 14 pertuduhan yang selebihnya kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada masa yang sama, kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook dan Twitter mencatatkan angka yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 14 pertuduhan dan diikuti WhatsApp sebanyak 13 pertuduhan sementara Instagram dan blog masing-masing mencatatkan bilangan terendah iaitu satu pertuduhan sahaja.

Secara keseluruhannya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, agensi itu menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama atau First Information Report (FIR) berkaitan dengan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding dengan hanya 139 yang diterima bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Seharusnya diingatkan bahawa sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau keduaduanya sekali.

Sehubungan itu, peningkatan bilangan pertuduhan di mahkamah juga menunjukkan ketegasan SKMM dalam menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat.

Langkah proaktif itu juga bertujuan memastikan orang ramai menikmati persekitaran Internet yang selamat dan lebih terjamin.

Konklusinya, media sosial ada sisi baik dan buruk justeru, manfaatkanlah teknologi moden ini agar tidak mendatangkan kemudaratan sebaliknya memberi faedah kepada semua.