SEBUYAU: Adun Sebuyau Datuk Julaihi Narawi komited membantu meningkatkan mutu pendidikan di kawasannya.

Menurutnya, beliau telah membantu sekolah-sekolah di kawasan Sebuyau dengan program Akhbar Dalam Pendidikan.

“Saya telah melanggan surat khabar dalam bahasa Inggeris setiap hari dan diberikan kepada sekolah-sekolah di kawasan Sebuyau.

“Ia melibatkan 19 sekolah rendah dan satu sekolah menengah,” kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Mini Kampung Sampat Sebangan, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, beliau telah memperuntukkan RM100,000 untuk melanggan akhbar tersebut. “Ketika ini kita berhenti mengedarkan akhbar buat sementara waktu kerana penutupan sekolah ketika Covid-19 dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita akan menyambung program pembelajaran dalam bahasa Inggeris ini ketika keadaan kembali pulih seperti biasa,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan beliau juga menyalurkan peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah dalam kawasan Sebuyau. “Setiap tahun tanpa gagal saya akan bantu 19 PIBG sekolah rendah RM10,000 dan satu sekolah menengah RM30,000 (jumlah lebih kerana ramai pelajar).

“Maknanya, guru besar, guru dan ibu bapa dapat menggunakan geran tersebut untuk keperluan dari semasa ke semasa,” tegasnya.