KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara mempunyai dua prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 di institusi itu yang melibatkan penerimaan banduan baharu serta pengiringan banduan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata SOP itu bagi menjamin keselamatan banduan, kakitangan penjara serta semua pihak yang terlibat dalam urusan penahanan.

Selain itu, Jabatan Penjara juga mempunyai Perintah Tetap berhubung ujian saringan COVID-19 yang mewajibkan semua banduan menjalani saringan sebelum diterima masuk ke penjara, katanya menjawab soalan Senator Lim Hui Ying.

Lim ingin tahu langkah serta perancangan kerajaan bagi menangani penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.

Menjawab soalan tambahan Lim mengenai kemungkinan banduan yang dipenjarakan atas kesalahan kecil dibebaskan lebih awal, timbalan menteri itu menegaskan kerajaan tidak bercadang memendekkan tempoh penjara banduan sepanjang penularan pandemik COVID-19.

Bagi mengurangkan kesesakan di dalam penjara, Jabatan Penjara menjalankan beberapa program termasuk sistem parol, perintah kehadiran wajib serta pembebasan banduan secara lesen, katanya. — BERNAMA