KUCHING: Kerja penyukatan dan penyerahan surat hak milik tanah bukan gimik politik untuk pilihan raya kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau berkata, isu berkaitan tanah adat bumiputera sering dikitar semula oleh beberapa pihak untuk dijadikan modal menyalahkan kerajaan.

Katanya, pihak berkenaan turut menghasut rakyat bahawa kerajaan mencuri tanah bumiputera melalui kerja penyukatan.

Jelas Awang Tengah, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana Kerajaan Sarawak sentiasa memperjuang dan mempertahankan hak bumiputera atas tanah adat mereka.

“Walaupun ramai penghasut berkata kerajaan mengambil tanah tetapi rakyat secara umumnya percaya bahawa hasutan itu tidak benar.

“Sebaliknya banyak permohonan diterima oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk membuat kerja penyukatan secara perimeter mahupun individu,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di Balai Raya Kampung Sinjok, Siburan hari ini.

Beliau turut berkata, penyukatan inisiatif baharu diperkenalkan pada tahun 2010 telah menyukat sebanyak 965,285 hektar tanah dibawah seksyen 6 KTN dan 48,476 hektar telah disukat dibawah seksyen 18 KTN.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Dua berkata, JTS diarahkan untuk menjalankan kerja penyukatan di seluruh negeri dan melibatkan semua kaum bumiputera dalam memastikan hak tanah adat mereka dipertahankan.

Beliau memberitahu, kerajaan juga sentiasa mengiktiraf tanah adat yang mempunyai bukti yang sahih berdasarkan pada perundangan sedia ada.

Jelasnya lagi, ia merupakan matlamat dan azam kerajaan untuk membantu rakyat bumiputera untuk menyukat tanah mereka.

“Selagi bersama kerajaan, kita akan terus perjuangkan hak dan kepentingan negeri ini termasuk hak terhadap tanah adat bumiputera,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Adun Bukit Semuja, John Ilus, Pengarah JTS, Abdullah Julaihi serta tetamu yang lain.