KUCHING: Sarawak hari ini tiada merekodkan kes positif baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 1,090 kes.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, empat kes baharu yang telah pulih dan didiscaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan didiscaj meningkat kepada 1,060 orang atau 97.25 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, seramai 11 orang yang masih menerima rawatan dan diasingkan di hospital setakat hari ini.

“Daripada jumlah itu, tujuh kes di HUS, tiga di Hospital Sibu dan satu di Hospital Miri.

“Selain itu, dua PUI baru telah dilaporkan dan dua PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal, hari ini,” jelasnya.

Sementara itu, Uggah memberitahu sejak pusat kuarantin di hotel dibuka pada 5 April lalu, sejumlah 83 kes atau 7.6 peratus daripada jumlah kes telah dikesan positif Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 44 kes adalah dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan manakala 39 kes dari luar negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menjelaskan daerah Sibu dan Kuching kekal berstatus kuning dengan tiga kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari iaitu dua di Sibu dan satu di Kuching, manakala 38 daerah lain kekal berstatus hijau.