KUALA LUMPUR: Sebarang penambahan kos bagi bakal jemaah haji akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan penambahan caj dan syarat dikenakan Kerajaan Arab Saudi ke atas bakal jemaah haji susulan langkah penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Unjuran kos itu tak dapat ditentukan kerana belum ada simulasi pergi balik haji termasuk kos penerbangan sebagainya, dalam masa terdekat kita akan kira kos-kos keseluruhan dan diperincikan oleh Tabung Haji (TH).

Kita hanya menjangka (pertambahan) dahulu…saya sendiri akan pergi ke Arab Saudi untuk berbincang dengan menteri haji dan agamanya mengenai isu-isu berkaitan haji dan perincian keputusannya mungkin penghujung Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37 Musim Haji 1442H disertai lebih 500 Pengendali Kursus Ibadat Haji secara dalam talian di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Beliau berkata buat masa ini, orang ramai digalakkan menambah simpanan dalam TH namun, sebarang makluman pertambahan kos tidak akan dibuat secara mengejut dan berkata sebarang keputusan mengenainya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Sementara itu, Zulkifli mengumumkan para pendeposit TH kini boleh membuat rayuan haji bagi tahun 2021 atau 1442H yang dibuka bermula hari ini sehingga 13 Feb tahun hadapan, melalui aplikasi THiJARI.

Kemudahan terbaharu ini dibina bertepatan dengan norma baharu, bertujuan membantu orang ramai membuat rayuan haji tanpa perlu menghantar surat rayuan ke pejabat TH seperti tahun sebelumnya.

Aplikasi itu juga membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status rayuan haji, status tawaran haji serta perkhidmatan lain seperti urusan simpanan dan pengeluaran TH. — BERNAMA