SARIKEI: Tapak pasar malam Tanjung Manis mendapat sambutan menggalakkan selepas dibuka kepada orang ramai sejak minggu lalu.

Pengerusinya Ibnee Ekni berkata, pasar yang terletak di kawasan tempat letak kereta di belakang Family Supermarket itu mempunyai 33 gerai jualan dan dibuka setiap hari kepada orang ramai bermula dari jam 2.00 petang hingga 10 malam.

Menurutnya, pengunjung bukan sahaja dari sekitar Tanjung Manis tetapi juga dari luar kawasan itu termasuk daerah berhampiran.

“Setakat ini, kami amat gembira dengan respons positif pelanggan dan berharap keadaan itu berterusan.

“Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan. Terima kasih kerana mengunjungi Pasar Malam Tanjung Manis,” katanya.

Pasar malam itu diwujudkan atas inisiatif Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Tanjung Manis dan mendapat sokongan padu Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Langkah proaktif itu bukan sahaja menambah seri Tanjung Manis tetapi juga menjadikannya sebagai salah satu lagi tarikan baharu pengunjung ke kawasan berkenaan.

Ibnee berkata, usaha mewujudkan pasar malam itu untuk memastikan peniaga kecil di daerah itu mempunyai platform bagi menjana pendapatan tambahan.

“Selain dibuka setiap hari, kita juga menawarkan hadiah menarik kepada orang ramai dengan cabutan tiket bertuah pada Ahad,” katanya.

Beliau berkata, PBB Ranting Tanjung Manis terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan peniaga kecil daerah ini mendapat peluang untuk meraih pendapatan, sekali gus meningkatkan ekonomi.

Katanya, penjaja gerai di pasar itu menjual pelbagai jenis produk termasuk makanan dan minuman, pakaian, kuih-muih, komestik dan lain-lain lagi. Dalam pada itu, seramai 33 peniaga pasar itu menerima permit daripada Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).

Majlis penyampaiannya disempurnakan oleh Datuk Len Talif Salleh.

Penghulu Abu Seman Masri dan Penghulu Rosli Mat dan Penghulu Klali Klen antara yang turut hadir.