KUCHING: Keseluruhan pentadbiran dan pengurusan Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (Mattary) akan diambil alih oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) bermula 1 Januari 2021.

Ia termasuk Kompleks Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Ya’kub (Patary) yang sebelum ini di bawah pengurusan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).

Penyerahan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk memartabatkan institusi tahfiz di Sarawak.

Hari ini telah berlangsung majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) penyerahan Mattary di antara LAKMNS dan MIS yang disaksikan Ketua Menteri merangkap Pengerusi LAKMNS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bertempat di Patary, majlis ringkas itu menyaksikan LAKMNS diwakili oleh Setiausaha Kehormat Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd. Nor dan Ahli Lembaga Drahman Jaladin, manakala MIS diwakili Yang Di-Pertua MIS Datu Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin.

Turut hadir Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan
Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abdul Wahap Abang Julai.

Sementara itu, Tadika Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (Tattary) yang bertempat di aras bawah Masjid Jamek Negeri masih di bawah kelolaan LAKMNS.

Sejak awal penubuhannya pada 2011, ia telah dikendalikan oleh LAKMNS termasuk dalam aspek merangka pelan pentadbiran dan pengurusan serta pembinaan kompleks Patary yang berkeluasan 20.8 ekar dengan perbelanjaan sebanyak RM22.81 juta.