SARIKEI: Kerajaan komited untuk meneruskan agenda transformasi pembangunan dalam menentukan hala tuju terbaik untuk rakyat khususnya di kawasan DUN Repok.

ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, setiap program yang dirancang teliti demi keselesaan rakyat di samping memfokuskan hala tuju dan aspirasi mereka.

Menurutnya, kerajaan gigih berusaha bagi mencapai pembangunan seimbang dengan membangunkan kawasan luar bandar seiring dengan kemajuan di bandar.

“Kestabilan politik Sarawak terbukti berjaya membawa pembangunan yang berterusan untuk rakyat. Sudah pasti impian ini mampu direalisasikan atas sokongan rakyat yang menjadi penentu kejayaan program yang dirancang oleh kerajaan

“Kita juga akan terus melaksanakan tanggungjawab dan amanah agar semua perancangan dilaksanakan dengan sempurna,” katanya pada Program Pembangunan Komuniti (Projek Rakyat N.45 Repok) bersama penduduk lima buah rumah panjang di sini, semalam.

Beliau memberi jaminan meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat Repok selain mengambil langkah proaktif bagi memastikan mereka terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, projek seperti pembinaan jalan raya, infrastruktur asas termasuk bekalan air dan kemudahan elektrik, pendidikan dan pembangunan lain juga tetap diteruskan.

Dato Sri Huang mengabadikan kenangan bersama penduduk.

 

Program mendapat sambutan hebat penduduk setempat.