SEBUT sahaja pertanian, kita akan terbayang cangkul, sudip, sisir, parang, mesin rumput, baja daripada najis haiwan, asap, unggun api dan sebagainya.

Kita juga akan terbayang panahan terik matahari, berpeluh, kotor dan letih.

Oleh itu, dahulu, bidang ini sering kali dikaitkan dengan kemiskinan, sama seperti golongan nelayan.

Namun, peredaran zaman dan kemunculan teknologi telah mengubah segala-galanya.

Kini pertanian tidak lagi dianggap sebagai pekerjaan kolar biru, tetapi “pertanian adalah perniagaan” yang menguntungkan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak mengambil serius bidang ini, dan mahu menjadikan Bumi Kenyalang sebagai “Bakul Makanan”… bukan sahaja untuk keperluan rakyat sendiri, tetapi juga untuk tujuan eksport ke luar negara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beria-ia untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu negeri pengeluar makanan utama di Malaysia pada masa akan datang.

Pertanian merupakan antara inisiatif beliau, sebagai antara program pembangunan jangka pendek dan panjang.

Oleh itu, pelbagai usaha telah pun dilakukan dan dirancang dari semasa ke semasa.

Beberapa kawasan strategik di kenal pasti sebagai lokasi utama pertanian, misalnya di kawasan Bintangor, Sarikei dan Serian mempunyai tanah yang subur dan amat sesuai untuk tapak pertanian pelbagai jenis tanaman.

Oleh itu, masyarakat hari ini, terutama belia hendaklah memanfaatkan segala peluang yang disediakan oleh kerajaan.

Ia bukan sekadar bantuan dari aspek kewangan, tetapi juga khidmat nasihat secara berterusan.

Bagi mereka yang berminat dalam bidang pertanian, usah menoleh ke belakang lagi, lihatlah ke hadapan, demi masa depan diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Peluang yang terbentang ini perlu diterokai dan diusahakan sebaik mungkin.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung anda tidak akan mendapat sagunya”.

Bagi mereka yang mempunyai tanah, jangan menunggu sehingga ia ditumbuhi belukar atau menjadi hutan belantara.

Bermulalah dari sekarang walaupun secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

Bagi mereka yang tidak mempunyai tanah luas tidak mengapa, kerana pertanian sekarang ini boleh dilakukan di tempat yang terhad.

Misalnya dengan menggunakan kaedah fertigasi atau hidroponik. Namun apa yang penting ialah pengetahuan dalam bidang ini perlu dikuasai terlebih dahulu agar anda tidak tersesat jalan.

Dalam apa jua bidang yang diceburi ilmu dan pengetahuan amat penting, terutama ilmu asas. Kita tidak boleh melakukannya secara sembrono, kerana ia pasti merugikan. Ilmu tani boleh diraih melalui pelbagai kursus yang dianjurkan oleh kerajaan atau organisasi berkaitan.

Ataupun mendapatkan ilmu melalui alam maya, kerana sekarang ini segalanya boleh didapati dengan mudah, hanya memerlukan hujung jari.

Namun khidmat nasihat mereka yang berpengalaman atau bertauliah amatlah penting. Bidang pertanian merupakan salah satu cabang penting yang mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita, terutama dalam kalangan siswazah.

Pandangan serong terhadap pertanian perlu dikikis.

Apabila menceburkan bidang ini, tidak semestinya anda memegang cangkul, sudip, parang dan sebagainya.