BINTULU: Golongan belia perlu lebih proaktif, kreatif dan berwibawa sebagai persediaan untuk menerajui kepemimpinan negara atau negeri pada masa hadapan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan mereka.

Beliau berkata, ini amat perlu memandangkan cabaran masa depan yang akan ditempuh oleh golongan terlibat lebih hebat dan canggih yang memerlukan persiapan atau persediaan diri yang hebat.

Malah, beliau tidak menafikan golongan terlibat turut terdedah dengan pelbagai pengaruh dan tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju atau mundur proses pembangunan dan kemajuan negara serta negeri.

Justeru tegasnya, tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, agak sukar untuk belia mengharungi kesulitan kehidupan masa depan apatah lagi hendak memajukan negeri.

“Ini boleh menjejaskan kesinambungan usaha pembangunan yang hendak dicapai selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030,” tambahnya.

Snowdan berkata demikian pada Program Santai ARGO Bersama Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngan Belia Samalaju dan sesi taklimat umum di salah sebuah hotel, di sini.

Pada masa yang sama beliau berharap belia akan lebih peka dengan perubahan semasa selain kental dalam menghadapi cabaran yang kian mencabar.

“Kita berdepan dengan kemajuan teknologi masa kini. Walaupun begitu saya berharap belia bukan sahaja boleh memanfaatkannya tetapi mampu menilai baik buruk demi pembangunan diri dan masa depan,” tegasnya lagi.

Di samping itu, Snowdan turut menggesa belia di Daerah Bintulu khususnya Samalaju supaya bijak mengambil peluang dalam pembangunan industri yang sedang rancak berkembang.