KUCHING: Kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,094 kes apabila empat kes import dikesan di negeri ini, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada empat kes itu, dua kes dikesan di Kuching, satu kes di Tebedu dan satu kes lagi di Miri.

“Kes ke-1,091 merupakan seorang lelaki rakyat Sarawak yang telah menjalani saringan Covid-19 sebagai individu yang baru balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 iaitu dari Kuala Lumpur. Pesakit telah masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri pada 18 Disember lalu.

“Pesakit telah diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin di bandar Miri dan menjalani saringan Covid-19 pada 20 Disember sebelum mendapati keputusan ujiannya adalah positif,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pesakit mengalami gejala demam dan dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Bagi kes ke-1,092 pula di Tebedu, beliau menjelaskan ia melibatkan seorang perempuan warganegara Indonesia yang menjalani saringan Covid-19 selepas ditahan oleh pihak berkuasa ketika cuba masuk secara haram ke Sarawak melalui jalan tikus pada 21 Disember lalu.

“Hasil siasatan mendapati kes mempunyai sejarah bekerja di Miri sejak enam tahun yang lepas. Pada 12 Oktober, pesakit telah membuat perjalanan pulang secara sah ke Makassar, Indonesia dan kembali secara haram ke Sarawak menggunakan jalan tikus pada 20 Disember lalu dan ditangkap oleh pihak berkuasa di Sarawak.

“Pesakit telah menjalani saringan Covid-19 pada 22 Disember dan keputusan ujian mendapati kes adalah positif. Kes ini tidak mengalami sebarang tanda dan gejala dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, dua kes positif di Kuching melibatkan adik beradik yang menjalani saringan COVID-19 sebagai individu yang baru balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 iaitu Sabah.

“Kes 1,093 dan 1,094 telah masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 21 Disember dan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin di Bandaraya Kuching

“Kedua-dua pesakit ini telah menjalani saringan RTK Antigen pada 11 dan 19 Disember lalu di Sabah sebelum masuk ke Sarawak, namun keputusan bagi ujian saringan tersebut adalah negatif.

“Kedua-dua mereka kemudiannya menjalani saringan Covid-19 pada 21 Disember dan keputusan ujian adalah positif . Kedua-dua kes ini tidak mengalami sebarang tanda dan gejala,” ujarnya lagi.

Uggah memberitahu, pengesanan kontak rapat bagi kesemua kes tersebut sedang giat dijalankan.