SETIAP kali menjelang perayaan terbesar negara, akan ada kempen keselamatan jalan raya yang diadakan di seluruh negara.

Kempen diadakan semata-mata untuk mengingatkan semua pemandu agar lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya.

Ia seolah-olah menjadi rutin pihak berkuasa bagi mengelakkan kemalangan jalan raya berlaku sepanjang tempoh perayaan.

Ini berikutan jalan raya akan dipenuhi dengan pergerakan kenderaan untuk balik kampung.

Lebih-lebih lagi jika perayaan itu kebetulan disambut pada musim cuti sekolah.

Maka lebih banyak pergerakan kenderaan dapat dilihat.

Biasanya jauh melebihi pergerakan kenderaan pada hari-hari biasa.

Persoalannya, adakah kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan harus dijadikan sebagai rutin perayaan semata-mata untuk mengingatkan agar lebih berhemah ketika memandu?

Melalui kempen jalan raya itu, pemandu dididik agar memandu dengan lebih berhemah, jangan memandu laju, berehat jika mengantuk, periksa kenderaan dan sebagainya.

Adakah ia hanya pada musim perayaan?

Sepatutnya tidak!

Setiap pemandu sebenarnya tidak lagi perlu sentiasa diingatkan akan hal sedemikian.

Jangan jadikan kempen keselamatan jalan raya sebagai rutin aktiviti setiap kali menjelang sesuatu perayaan.

Setiap pemandu harus sedar akan hal ini dengan menyedari jalan raya bukan milik dia seorang.

Semua orang menggunakan jalan raya, jadi ia memerlukan sikap bertimbang rasa dan saling menghormati bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

Walaupun baru-baru ini telah didedahkan bahawa jumlah kes kemalangan menurun, namun ia tidak harus dipandang enteng.

Penurunan jumlah kes disepakati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu dan diikuti PKP Bersyarat.

Selain sekatan jalan raya di sempadan daerah, kenderaan sepanjang tempoh tersebut sememangnya kurang berada di jalan raya.

Dalam tempoh awal Januari hingga November lalu, Sarawak merekodkan 276 kemalangan maut – pengurangan 16.1 peratus (53 kes) berbanding 329 kes pada 2019.

Kemalangan parah pula menurun 55 kes (30.9 peratus) daripada 178 kes pada 2019 kepada 123 kes tahun ini.

Bagi kemalangan rosak pula, sebanyak 13,840 kes direkodkan yang juga menunjukkan pengurangan berbanding 18,855 kes pada 2019.

Sementara kecederaan ringan meningkat daripada 219 kes pada 2019 kepada 331 kes pada tahun ini.

Jumlah itu tidak harus menggembirakan kerana kemalangan dalam pelbagai kategori masih berlaku tanpa mengira apa-apa jenis jalan raya.

Untuk merekodkan sifar kemalangan mungkin mustahil – ia berlaku disebabkan faktor manusia ataupun kenderaan, tetapi jumlah itu perlu dikurangkan.

Ia terletak kepada manusia sendiri – pengguna jalan raya – harus sentiasa mematuhi segala peraturan dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Jangan hanya bertindak menjadi pemandu yang baik (memandu dengan berhemah) jika ternampak polis trafik dan anggota JPJ.