KUCHING: Bermula 1 Januari 2021, keseluruhan pentadbiran dan pengurusan Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (Mat-tary) diambil alih oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Ia termasuk termasuk Kompleks Pusat Pengajian Al-Quran Tun Abdul Rahman Ya’kub (Patary) yang sebelum ini di bawah pengurusan dan milik Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).

Penyerahan Mattary kepada MIS merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak untuk memartabatkan institusi tahfiz di Sarawak.

Semalam berlangsung majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) penyerahan antara LAKMNS dan MIS yang disaksikan Ketua Menteri yang juga Pengerusi LAKMNS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. LAKMNS diwakili oleh Setiausaha Kehormat Tan Sri Bujang Mohd.

Nor dan Ahli Lembaga Drahman Jaladin, manakala MIS diwakili Yang Di-Pertua MIS Datuk Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin.

Turut hadir Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abdul Wahap Abang Julai.

Sementara itu, Tadika Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (Tattary) di aras bawah Masjid Jamek Negeri masih di bawah kelolaan LAKMNS.

Tattary yang beroperasi selama 11 tahun dengan purata pengambilan 275 murid pada satusatu masa telah menyumbang kepada peratusan tertinggi kemasukan murid Tahun 1 di Mattary dengan melepasi ujian kelayakan.

Terdahulu pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Mattary pada 9 Disember lalu, Ketua Menteri telah mengumumkan penyerahan Mattary daripada LAKMNS kepada MIS berikutan perbelanjaan sekolah berkenaan amat tinggi Katanya, oleh kerana faktor kewangan maka adalah lebih baik ia diambil alih serta diuruskan Kerajaan Sarawak bagi memudahkan urusan penyaluran dana bagi perbelajaan operasi.

Mattary mula ditubuhkan pada 2011 dan telah dikendalikan oleh LAKMNS sejak awal penubuhan termasuk dalam aspek merangka pelan pentadbiran dan pengurusan serta pembinaan kompleks Patary dengan perbelanjaan sebanyak RM22.81 juta. Kompleks ini mempunyai keluasan 20.8 ekar dan menyediakan 18 kelas serta bilik untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran (PdP).