ESTONIA dan Korea Selatan dijadikan negara contoh untuk Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kedua-dua negara itu disebut oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam ucapan perasmian sempena Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam (SCSICA) 2020 baru-baru ini.

Apa yang menarik perhatian dalam ucapan beliau ialah, Korea Selatan yang terkenal dengan kimchi dan K-POP dijadikan panduan dan contoh untuk negeri maju.

Selepas Perang Korea (1950- 1953), Korea Selatan merupakan negara termiskin ketika itu, berbanding Malaysia yang baru dibentuk pada 1963. Selepas perang, Korea Selatan hanya bergantung kepada pembiayaan asing terutamanya dari Amerika Syarikat.

Mereka tidak mempunyai sumber alam seperti minyak dan gas yang terdapat di Malaysia, malah ketika itu kepadatan penduduknya adalah tinggi.

Pengambilan kuasa pada 1961 menyaksikan presiden ketiga Korea Selatan ketika itu Park Chung Hee membentuk pelan lima tahun kebangsaan bertujuan untuk membangunkan ekonomi negara melalui industri pertanian dan industri tenaga.

Pelan lima tahun itu turut menekankan peningkatan peluang pekerjaan kepada rakyat di samping mempromosikan bidang sains dan teknologi.

Bidang pendidikan juga diberi penekanan di Korea Selatan kerana bagi mereka pendidikan dapat mengubah kehidupan dan mewujudkan modal insan yang berjaya.

Pelan mereka tidak sertamerta mengubah negara menjadi negara maju tetapi ia menjadi batu asas dan persediaan untuk menjadi kuasa besar menjelang beberapa tahun akan datang.

Kini, Korea Selatan tidak lagi menoleh ke belakang, ekonominya mengalir deras seperti Sungai Han di ibu negara republik tersebut.

Korea Selatan, Malaysia mahupun Sarawak mula membangun pada 50 tahun yang lalu tetapi Korea Selatan kini jauh meninggalkan kita dari segi ekonomi, teknologi dan lain-lain bidang.

Melihat pada kepesatan ekonomi Korea Selatan, sudah semestinya negeri ini membuat perancangan seperti dilakukan oleh pemimpin terdahulu Korea Selatan.

Apa yang dirancang tidak semestinya membuahkan hasil, tetapi ia akan menjadi penanda aras untuk maju pada keesokannya.

Selain perancangan kepimpinan kerajaan, warga negeri ini juga harus jadi penggerak dan pemain penting yang terlibat dalam penjanaan pendapatan negeri. Meskipun kita jauh ketinggalan, bukan bermakna kita berdiam diri, tidak berbuat apa-apa.

Kita boleh bermula semula, mengorak langkah baharu membuat perancangan untuk jangka panjang dan merealisasikan dasar kemakmuran bersama agar kita dapat berdiri sama tinggi dengan Korea Selatan mahupun negara maju yang lain.

Yang pasti, kemajuan sesebuah negara bukan terletak di tangan pemimpin semata-mata, sebaliknya seluruh rakyat perlu berganding bahu, menyahut seruan kerajaan dalam pelbagai aspek pembangunan.

Malah kita sebagai rakyat perlu bermuhabasah diri, menjadikan baik sebagai teladan, dan yang tidak baik sebagai sempadan.

Generasi baharu sekarang ini perlu disemai dengan elemeneleman sahsiah diri tentang kemanusiaan, agar kita dapat melahirkan generasi masyarakat yang seiring, tidak hanya maju dari segi fizikal, tetapi juga maju dari segi etika kemanusiaan, itu yang lebih penting. Kemajuaan dari segi fizikal semata-mata tidak akan membawa makna, tanpa kemajuan mental, yakni sahsiah diri.