KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak menahan 14 individu dalam tiga operasi berasingan pada 21 dan 22 Disember lalu.

Sebelas yang ditahan adalah warga Indonesia manakala selebihnya warga tempatan yang ditahan pada Op Khazanah dan Op Benteng Covid-19.

Komander Briged Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki tempatan dalam Op Khazanah yang dijalankan bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) pada Selasa lalu di bandar raya ini.

Menurut Mancha, pemeriksaan mendapati suspek memiliki lapan ekor burung kakak tua pelbagai spesis, empat itik spesis Whistling dan empat ekor ayam spesis Ring Necked Pheasent.

“Kesemua haiwan tersebut merupakan spesis yang dilindungi dan dipercayai diimport dari luar negara.

“Anggaran jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM 303,000. Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak SFC Bahagian Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Mancha turut berkata, kes kedua dalam Op Benteng pada Isnin melibatkan enam suspek yang terdiri dari seorang warga negara dan enam warga Indonesia yang cuba memasuki negeri ini secara haram di Sungai Aping, Serian.

Katanya, anggotanya telah menahan kesemua suspek yang menaiki sebuah kenderaan Perodua Kembara yang datang dari arah Indonesia dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 7.00 malam.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran masuk yang sah ke Malaysia.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak IPD Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” jelasnya.

Beliau menambah, tangkapan ketiga dalam Op Benteng Selasa lalu melibatkan tangkapan tiga lelaki tempatan dan dua warga Indonesia yang cuba menyeludup barang keperluan harian belum lulus cukai Kastam.

Kata Mancha, anggotanya menjalankan rondaan keselamatan sekitar jam 7.00 malam di Kampung Raso, Lundu dan telah menahan telah menahan tiga buah kenderaan yang datang dari Malaysia menuju ke Indonesia.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 10 kotak Frozen Chicken Tail, 1240 kotak Frankfurter Ayam (sosej), 10 kotak Chicken Wing (F), dan 11 kotak sarang burung walit yang dimuatkan didalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan dua buah Lori jenis Mitsubishi Fuso.

“Semasa pemeriksaan sedang dijalankan, telah datang seorang lelaki warga tempatan cuba memujuk supaya dilepaskan.

Barangan keperluan harian yang tidak diluluskan kastam cuba diseludup ke Indonesia melalui Kampung Raso, Lundu berjaya dipatahkan oleh PGA Sarawak.

“Lelaki tersebut telah menawarkan wang sebanyak RM1850 kepada ketua serbuan walaupun amaran telah diberikan. Lelaki tersebut kemudiannya telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak,” kata Mancha.

Tambahnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 1,034,482 merangkumi barangan yang hendak diseludup, tiga buah kenderaan serta wang suapan.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak IPD Lundu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009, dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Sementara itu, Mancha berkata sepanjang pengoperasian yang dilaksanakan sejak awal tahun hingga 22 Disember, PGA Sarawak telah mencatatkan kejayaan bernilai RM 38,152,622. dengan merekodkan sebanyak 162 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 453 orang.

“Tangkapan melibatkan seramai 197 warganegara tempatan dan 256 orang pendatang tanpa izin (PATI).

“Statistik kejayaan ini merangkumi kejayaan Kes Tolak Rasuah bernilai RM 57,850 dengan merekodkan sebanyak 11 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 12 orang terdiri dari sembilan warga tempatan dan tiga PATI,” katanya.