KUCHING: Sarawak berjaya menanam sebanyak 10,452,607 pokok merangkumi 50 spesies dengan keluasan 9,732.14 hektar di seluruh negeri ini dalam tempoh Jun 2019 hingga 20 Disember lalu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian dalam tempoh 18 bulan itu berjaya diperolehi melalui program Restorasi Landskap Hutan yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri.

“Ia adalah melalui pelbagai program penanaman yang kita laksanakan meliputi kawasan pembalakan, ladang hutan, kawasan hutan simpan, kawasan terlindung sepenuhnya, tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk tanah milik persendirian.

“Sehubungan itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM62 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk program restorasi di seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Tambahnya, Sarawak menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok atau 35 peratus pokok di seluruh negeri daripada keseluruhan 100 juta sasaran Kerajaan Persekutuan bagi seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kerajaan Sarawak melalui JHS turut membangunkan semula tiga tapak semaian sedia ada iaitu Pusat Restorasi Landskap Hutan Sabal di Simunjan, Pusat Penambahbaikkan Pokok Sarawak di Sibu dan Steseb Penyelidikan Hutan di Niah.

“Kita turut membangunkan dua lagi tapak semaian yang baharu dan luas iaitu di Kayangeran Lawas dan Bintawa Kuching untuk menggalakkan semua pihak membangunkan serta mewujudkan tapak semaian masing-masing,” jelasnya.

Oleh itu, ujarnya Kerajaan Negeri mempunyai peluang yang amat cerah dalam meneroka sumber pendapatan ekonomi baharu iaitu perdagangan karbon melalui program tersebut jika ia dapat dilaksanakan dengan baik sekali.