KUCHING: Sudah terlambat untuk PKR Sarawak menguruskan organisasi dalamannya kerana PRN-12 semakin hampir, kata Ketua Penerangan Parti PBB Datuk Idris Buang.

“Ini tidak hairanlah, PKR sekarang kucar-kacir baik di peringkat nasional mahupun Sarawak, lebih-lebih lagi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual mengulas mengenai keputusan Larry Sng melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak semalam.

Ditanya sama ada perkembangan dalam parti pembangkang itu akan memberi kelebihan kepada GPS, Idris tidak pasti namun berharap agar parti-parti pembangkang terus bergolak.

Katanya, parti-parti pembangkang tidak terurus dan hanya bermain retorik politik, mengkritik namun tidak tahu membina negeri atau negara.

“Lebih mudah mengkritik daripada membina sesuatu… itulah PKR dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Larry semalam mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak bagi membolehkan parti itu dipimpin oleh orang Dayak sebagai persiapan menghadapi PRN-12 tahun depan.

Katanya, ia demi kepentingan PKR Sarawak memandangkan majoriti penduduk Sarawak adalah Dayak.