KUCHING: Dua kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan keseluruhan 1,096 kes dicatatkan di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes-kes tersebut dikesan di Daerah Miri dan dikategorikan sebagai Import A dan Import B.

“Kes 1,095 merupakan seorang lelaki warga tempatan yang baru balik dari Filipina melalui Lapangan Terbang Miri pada 19 Disember dan telah diarahkan menjalani kuarantin wajib.

“Kes telah menjalani saringan RT-PCR pada 21 Disember dan didapati positif dan dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut serta dikategorikan sebagai kes Import A iaitu mendapat jangkitan semasa berada di luar negara,” kata kenyataan itu.

Tambah JPBNS, manakala kes-1,096 merupakan lelaki penjawat awam yang masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri pada 20 Disember kerana arahan berpindah tempat kerja.

“Kes diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib dan menjalani saringan Covid-19 pada 22 Disember dan ujian adalah positif.

“Pengesanan kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan dan dikategorikan sebagai kes Import B iaitu mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi iaitu Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan JPBNS berkata hari ini terdapat satu kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj, manakala sejumlah 16 orang masih mendapatkan rawatan dan diasingkan di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri.

“Hari ini, tujuh orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan dua PUI masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambah JPBNS.