KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan antara 15 warganegara Indonesia yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan diusir dalam empat tangkapan berasingan pada 22, 23 dan 24 Disember.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, kesemua mereka ditahan apabila cuba keluar dan masuk ke Sarawak melalui lorong tikus di sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia.

Menurutnya, dalam kejadian pertama pada 22 Disember berlaku sekitar jam 1.30 petang di lorong tikus sektor Biawak, empat lelaki, seorang perempuan bersama seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan kaki di lorong ladang kelapa sawit ingin merentasi sempadan Malaysia-Indonesia melalui Biawak.

“Setelah diperiksa dan disoal siasat, kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang dan menyatakan ingin pulang ke Indonesia menggunakan lorong tikus. Kesemua mereka diusir setelah laporan dibuat di Balai Polis Lundu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, kejadian kedua pada hari yang sama berlaku sekitar jam 10.15 malam, seorang warganegara tempatan dan lima PATI ditahan ketika melalui jalan ladang kelapa sawit Kampung Kandaie.

DITAHAN… Seorang PATI cuba menggunakan lorong sawit dari arah sempadan antarabangsa Indonesia ditahan sekitar jam 8.42 pagi tadi di Biawak.

“Anggota yang sedang meronda bertindak menahan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan mendapati tiga warganegara Indonesia dipercayai PATI bersama seorang pemandu kenderaan warganegara tempatan cuba membawa masuk PATI menggunakan laluan tidak sah.

“Tidak lama kemudian, tiga lelaki dipercayai PATI menaiki dua buah motosikal turut melalui laluan yang sama dan ditahan.

“Kesemua enam PATI dan seorang tekong darat itu dibawa ke Balai Polis Lundu untuk menjalani ujian calitan Covid-19 untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, dua wanita yang disyaki PATI sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan pada 23 Disember sekitar jam 11.30 malam di Tebedu.

“Kumpulan Serkap mengesyaki dua individu itu ingin merentasi sempadan Malaysia-Indonesia dari Tebedu. Setelah disoal siasat, mereka menyatakan mereka dari Kuching hendak pulang ke Entikong melalui laluan tikus dan kedua-dua mereka diusir setelah laporan dibuat di Balai Polis Tebedu,” jelasnya.

CUBAAN LOLOS… Seorang kanak-kanak perempuan antara PATI yang ditahan semasa Op Benteng pada kejadian 22 Disember lalu.

Sekitar jam 8.42 pagi tadi di Biawak, seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berjalan kaki di lorong sawit dari arah sempadan antarabangsa Indonesia.

“Lelaki yang disyaki sebagai PATI itu ingin merentasi sempadan Malaysia-Indonesia daripada Biawak. Setelah ditahan disoal siasat, PATI tersebut menggunakan lorong tikus untuk balik ke Indonesia,” ujarnya.

Jelasnya, musim perayaan dan operasi besar-besaran membasmi PATI dilihat menjadi antara punca pergerakan PATI pulang ke Indonesia menggunakan laluan tikus.

“Justeru, anggota keselamatan terutama Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiapsiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah serta membolosi sempadan negara.

“TDM di bawah Pemerintahan Markas 1 Divisyen bersama pasukan keselamatan di bawah Pasukan Khas (NTF) melalui inisiatif Op Benteng terus komited dalam mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak sepanjang pandemik Covid-19 masih berleluasa.