DALAT: Menyedari potensi kraf kayu mendapat permintaan tinggi dan berupaya mengetengahkan budaya Melanau, pembuat perabot dari Kampung Tanam Dalat, Lawrence Dan, 44, komited menjadikan kraf kayu sebagai perusahaan utama sejak 2018.

Bagi beliau biarpun bergerak sendiri dan serius sejak 2019, beliau membahagikan masa sebaik-baiknya untuk menyiapkan perabot rumah dan kraf kayu yang ditempah pada setiap bulan.

“Secara purata setiap bulan perolehan paling rendah saya dapat ialah RM900.

“Manakala untuk tempoh tertentu saya peroleh RM1,200 ke atas hanya dari hasil kraf yang saya hasilkan di bengkel di kampung Tanam Dalat.

“Antara produk kraf kayu yang saya hasilkan ialah replika bermotifkan budaya Melanau seperti tapow, tempat letak telefon, pengayuh perahu bersaiz kecil dan sederhana, replika nama dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak baru-baru ini.

LAWRENCE DAN

Beroperasi dari rumahnya di Kampung Tanam selain turut menetap di Kuching, Lawrence kini bergerak dengan jenama “Uren Customade Woodwoodworks Enterprise”.

Lawrence menyedari hasil kerja tangannya itu mendapat sambutan positif orang ramai dengan beliau memanfaatkan media sosial Facebook untuk tujuan pemasaran.

“Paling jauh kita terima tempahan ialah dari Putrajaya, Kedah dan Terengganu khasnya daripada rakan Facebook saya sendiri.

“Manakala untuk masyarakat tempatan paling ramai saya terima tempahan ialah dari Kuching,” katanya.

INSPIRASI IBU

Lawrence Dan bergerak melaui jenama Uren Customade Woodworks.

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, bagi Lawrence, ibunya yang kini merupakan salah seorang pembuat tapow di Kampung Tanam Dalat menjadi sumber inspirasi utama krafnya khususnya replika tapow atau terendak.

“Saya melihat tapow ini sudah dikenali ramai, maka saya buat replika dari kayu, tambahan pula ibu saya sendiri ialah pembuat tapow.

“Untuk kraf lain iaitu pengayuh perahu saya hasilkan menggunakan motif sendiri daripada ‘takung’ dan butir sagu yang cukup sinonim bagi masyarakat Melanau.

“Bagi menyiapkan produk kraf ini saya gunakan tempoh dua hari mengikut acuan contoh yang sedia ada.

“Kesukaran rekaannya bergantung kepada tempahan yang dimahukan pelanggan serta proses memperindahnya,” ujarnya lagi.

BUDAYA MELANAU DALAM KRAF KAYU

Bagi Lawrence, melalui kraf kayunya itu beliau mahu budaya setempat masyarakat Melanau yang sinonim di Dalat dan Mukah dapat ditonjolkan dan menjadi kelainan utama dalam penghasilan krafnya itu.

“Kelainan yang saya tonjolkan berupa objek yang popular di Dalat dan Mukah seperti mesin pemotong pokok rumbia, mesin jahit dan replika ulat mulong ini saya reka sebagai tempat letak berdirinya telefon pintar.

“Misalnya tempat letak telefon ini paling banyak mendapat permintaan untuk dijadikan hadiah.

“Meskipun jumlah tempahan kini semakin bertambah, saya terus berusaha menyiapkannya mengikut permintaan pelanggan.

“Bagi pengayuh perahu ini juga merupakan kraf yang mendapat permintaan tinggi kerana saya turut menyediakan set cenderamata khas dengan harga dari RM80 hingga RM330 berserta bingkai kaca dan kayu untuk tujuan cenderamata,” katanya.

PELUANG PEKERJAAN

Lawrence kini merancang ingin memajukan dan ingin melihat industri kraf kayunya itu bertapak lebih jauh melalui kraf kayunya itu.

“Matlamat asal saya menceburi bidang keusahawan ini adalah untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, selain ingin memartabatkan seni warisan Melanau melalui kraf ini.

“Sehingga satu tahap nanti jika saya berpeluang dan adanya ruang saya mahu menurunkan ilmu kraf ini kepada sesiapa yang ingin mempelajarainya.

“Saya juga membuka pintu kepada sesiapa saja yang ingin menimba ilmu kraf kayu ini” tambahnya lagi.

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan produk kraf kayu Uren ini, sila layari Facebook “Uren Customade Woodworks” atau hubungi Lawrence Dan di talian 019-8676763 atau 012-8803566.