SARIKEI: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi melaksanakan beberapa program strategik untuk manfaat sekitar 30,000 penggiat industri di seluruh negara.

Pengerusinya Ir Yusuf Abd Wahab berkata, melalui langkah itu, beberapa inisiatif yang diperkenalkan kementerian kepada CIDB mampu meningkatkan keupayaan, kapasiti dan kemampuan penggiat industri pembinaan yang terkesan akibat pandemik Covid19.

Menurutnya, CIDB yakin peruntukan itu dapat digunakan untuk menyokong dasar semasa negara bagi meningkatkan penggunaan teknologi, latihan kemahiran, menambah pengetahuan penyeliaan dan pengurusan projek, pengurangan pekerja asing, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga buruh tempatan.

“Dalam aspek latihan dan kemahiran, CIDB menyambut baik inisiatif tersebut yang dapat memberi manfaat kepada sekitar 18,000 personel binaan tempatan bagi memberi peluang kepada mereka melibatkan diri dalam pengisian semula dan akreditasi kemahiran.

“Pada masa yang sama, program yang dijalankan mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam kalangan belia tempatan untuk menceburi sektor pembinaan berimpak tinggi agar kebergantungan kita kepada pakar asing dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Keusahawanan: Ceramah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS): Kemudahan, Pembiayaan dan Geran Perniagaan, Kursus Pembangunan Kontraktor Binaan Bahagian Sarikei baru-baru ini.

Yusuf yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis berkata, CIDB turut memperkenalkan program perantis khusus untuk belia tempatan mendapat peluang latihan dan pekerjaan melalui kaedah penempatan di syarikat pembinaan terkemuka yang sedang giat melaksanakan projek pembangunan.

Melalui kaedah itu katanya, personel binaan tempatan mendapat latihan secara praktikal dalam bidang penyeliaan dan pengurusan projek, meningkatkan kecekapan mereka dalam penggunaan teknologi moden, di samping tumpuan terhadap aspek keselamatan.

Dalam usaha merangsang sektor pembinaan ujarnya, CIDB sedang giat melahirkan pengeluar komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS). “Kesanggupan dan kesediaan penggiat industri menggunakan kaedah terkini IBS, mampu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

“Saya juga menyeru usahawan sektor pembinaan di Sarawak, khususnya golongan kontraktor kelas G1, G2 dan G3, supaya bersedia untuk mentrasformasikan kaedah perancangan dan pengurusan projek dari semasa ke semasa agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan inovasi sektor binaan negara.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan para kontraktor supaya segera mendaftar dengan aplikasi mudah-alih CONTRACTOR4U bagi membolehkan perkhidmatan dan produk dapat diakses dengan mudah oleh orang ramai,” katanya.

Program dianjurkan bersama Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (Dekoms) dengan kerjasama CIDB, AgroBank Wilayah Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Tekun Nasional Negeri Sarawak.

Pada masa yang sama beliau menyumbangkan sebanyak RM15,000 bagi membantu aktiviti Dekoms. Hadir sama Presiden Dekoms, Bujang Boji Sitam, Ketua Unit Kewangan Mikro AgroBank Wilayah Sarawak, Mohd Zaidi Sapawi dan Temenggong Bahagian Sarikei, Awangku Ibrahim Awangku Hosain.