KUCHING: Banyak produk tempatan di Bako yang boleh diketengahkan bagi melambangkan identiti masyarakat tempatan kepada pelancong, kata Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Menurutnya, keunikan Bako sebagai sebuah perkampungan nelayan harus di ketengahkan menerusi kehidupan harian, hasil ekonomi dan budaya.

“Mengambil contoh perkhidmatan inap desa yang bukan sahaja menyediakan tempat bermalam, tetapi juga boleh mengetengahkan kehidupan penduduk tempatan.

“Seperti memproses belacan, membaiki peralatan nelayan, melihat buaya dan sebagainya sekali gus menarik minat pelancong datang berkunjung ke Bako,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di aktiviti mingguan Bako Fest 2020 yang di Kampung Bako baru-baru ini.

Justeru itu katanya, penduduk kampung tersebut perlu merebut dan menerokai produk-produk pelancongan tempatan yang boleh dijadikan sumber pendapatan utama.

“Di samping itu, perkhidmatan lain yang boleh ditawarkan ialah menyelami kehidupan sebagai nelayan dengan turun ke laut merasai menangkap ikan dan hasil laut, dan menyajikan pembuatan makanan tempatan termasuk kuih muih.

“Produk dan perkhidmatan seperti ini tidak akan terdapat di tempat lain dan keunikannya hanya ada di Kampung Bako,” ujarnya.