KUCHING: Perayaan Hari Krismas tahun ini terasa sangat berbeza tanpa kemeriahan rumah terbuka.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak Claudia Jiton berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk keluarganya mengadakan rumah terbuka ketika perayaan tersebut.

“Ini kerana kami akan menjemput rakan-rakan untuk ‘ngabang’ (berkunjung) ke rumah bagi meraikan Hari Krismas bersama-sama.

“Berbeza dengan tahun ini, kami hanya berkumpul dengan keluarga sahaja,” katanya berkongsi pengalaman kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Claudia, perasaan gembira tetap ada walaupun tanpa kemeriahan rumah terbuka dan kunjungan daripada rakan-rakan.

“Apa yang penting bagi saya adalah boleh balik ke kampung halaman untuk meraikan Hari Krismas dengan keluarga meskipun dalam keadaan sederhana,” ujarnya.