KUCHING: Sarawak merekodkan tiga kes baharu positif Covid-19 hari ini melibatkan masing-masing satu kes di Daerah Kuching, Lundu dan Miri.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata ini menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,099 kes.

“Kes 1,097 dikategorikan sebagai Import B, merupakan seorang lelaki warganegara Thailand yang baru balik dari Kuala Lumpur dan masuk ke Miri pada 21 Disember untuk ‘sign on’ di kapal.

“Kes 1,098 merupakan lelaki pendatang asing tanpa izin dari Kalimantan, Indonesia yang telah ditahan pihak berkuasa ketika cuba masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia di Daerah Lundu pada 23 Disember.

“Kes ini dikategorikan sebagai import A,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini.

Tambah JPBNS, kes positif baharu ketiga di Sarawak hari ini melibatkan lelaki warganegara Bangladesh yang balik dari Kuala Lumpur dan dikategorikan sebagai Import B.

“Sementara itu, tiada kes baharu pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dan jumlah keseluruhan yang telah pulih seramai 1,061 orang.

“Seramai 19 orang masih mendapat rawatan dan diasingkan d Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri,” ujar JPBNS.

Kata JPBNS lagi, Daerah Sibu dan Kuching kekal berstatus kuning dengan jumlah
keseluruhan tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu, manakala 38 daerah lain kekal berstatus hijau.