“ JIKA anda ada anak yang berbakat dan berminat dalam bidang sukan, berilah galakan dan semangat,”

Demikian kata Rinong Pamg, ayah kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Bagi Rinong, sokongan padu berterusan yang tidak pernah padam daripada keluarga merupakan antara ramuan kejayaan Pandelela hingga mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh terjun dunia.

Setelah meraih beberapa pingat dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk sukan terbesar, Olimpik, Pandelela sekarang fokus, untuk meraih kilauan emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Pandelela sudah layak ke temasya Olimpik Tokyo menerusi acara 10 meter platform individu serta 10 meter platform seirama bergandingan bersama Mun Yee.

Baru-baru ini, Pandelela Rinong lega apabila akhirnya dapat menyertai kejohanan selepas beraksi dalam Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berkata, aksi dalam kejohanan itu dapat membantunya melakukan persiapan bagi menghadapi saingan musim depan terutama Sukan Olimpik Tokyo selepas banyak kejohanan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Pandelela merupakan antara nama besar di persada sukan Malaysia dan Sarawak.

Malah Sarawak juga pernah melahirkan jaguh pecut bertaraf Olimpik, Watson Nyambek, mahupun jaguh tinju, Sapok Biki atau jaguh bina badan, Buda Anchah.

Malah kita juga mempunyai jaguh angkat berat bertaraf Asia, Stephanie Mary Insol serta bintang bola sepak hebat seperti Jahar Nor, Mohamad Ali Sapiee, Bobby Pian, Ramos Sari, Joseph Kallang Tie dan Ashri Chuchu.

Dalam era sekarang, bidang sukan menjanjikan habuan yang cukup lumayan, bukan sahaja dari segi pendapatan, tetapi juga dari segi penghargaan.

Bidang sukan sekarang ini, bukan lagi hanya berkisar tentang atlet, tetapi lebih daripada itu. Seseorang atlet yang sudah bersara boleh mencipta kerjaya melalui sukan, misalnya sebagai jurulatih, pegawai atau penasihat, sama ada di jabatan sukan atau persatuan mahupun organisasi korporat yang menjurus kepada bidang kesukanan.

Yang pasti, sukan merupakan salah satu platform untuk mendapatkan kerjaya.

Misalnya bekas ketua pasukan bola sepak Sarawak, Jalil Ramli, sekarang ini bertugas sebagai pengulas sukan di stesen penyiaran Astro Arena.

Pengalaman dan pengetahuan Jalil dalam bola sepak amat diperlukan untuk memberikan pandangan yang lebih bernas dan berfakta.

Malah sebelum itu, Jalil juga aktif sebagai jurulatih beberapa buah pasukan, termasuk pasukan Sarawak untuk beberapa tahun.

Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak yang berbakat dan berminat dalam bidang sukan hendaklah diberi galakan dan bimbingan yang sewajarnya, siapa tahu suatu hari nanti anak anda mampu mencapai tahap seperti Pandelela, Watson, Jalil Ramli, Sapok Biki dan Safri Amit.

Oleh kerana kita di Malaysia belum mencapai tahap profesional seperti di negara-negara Eropah, maka pendidikan akademik masih lagi menjadi keutamaan, namun ia bukan penghalang untuk kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk meneruskan minat dalam bidang sukan.

Pandelela Rinong misalnya, beliau bukan sahaja berjaya sebagai atlet, tetapi juga berjaya dalam bidang akademik.

Beliau memiliki ijazah kesukanan daripada UPM.

Secara jelas, penglibatan aktif dalam bidang sukan bukan alasan untuk gagal dalam akademik, begitu juga sebaliknya.

Sesungguhnya sukan menjadi penyumbang utama ekonomi dan pembangunan sosial sesebuah negara.

Realiti ini tidak boleh disangkal oleh mana-mana kerajaan kerana ia diikrarkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).