DALAM usaha untuk menghijaukan bumi Sarawak, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan memberikan sokongan padu terhadap pelbagai kempen penanaman pokok.

Yang terbaharu Program Restorasi Landskap Hutan (FLR) yang dimulakan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan dilaksanakan secara besar-besaran sebagai pemangkin untuk menyelamatkan hutan, persekitaran dan kesejahteraan masa depan rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia termasuk penanaman spesies pokok tempatan di kawasan hutan yang merosot.

Katanya, usaha restorasi hutan seperti menanam pokok bukanlah suatu inisiatif yang baharu dan ia telah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Berdasarkan rekod, sejak tahun 1996 sehingga 2018, seluas 528,238 hektar telah ditanam dengan lebih kurang 634 juta pokok pelbagai spesies.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak berjaya menanam sebanyak 10,452,607 pokok merangkumi 50 spesies dengan keluasan 9,732.14 hektar di seluruh negeri ini dalam tempoh Jun 2019 hingga 20 Disember lalu.

Menurutnya, pencapaian dalam tempoh 18 bulan itu berjaya diperoleh melalui program FLR yang melaksanakan pelbagai program penanaman meliputi kawasan pembalakan, ladang hutan, kawasan hutan simpan, kawasan terlindung sepenuhnya, tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk tanah milik persendirian.

Malah, beliau optimis Sarawak mampu mencapai sasaran menanam 35 juta pokok dalam masa lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2025 menerusi inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam program tersebut yang turut melibatkan masyarakat setempat.

Ini bermakna secara purata setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang, sebanyak tujuh juta pokok akan ditanam di seluruh negeri Sarawak.

“Sarawak dipayungi oleh kawasan berhutan seluas 7.9 juta hektar atau 63 peratus daripada keluasan negeri ini dan kita mempunyai peluang yang amat cerah untuk meneroka sumber pandapatan baharu iaitu perdagangan karbon.

“Sekiranya program ini dapat direalisasikan dengan baik, pada masa akan datang Kerajaan Negeri dapat mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti pembalakan dan industri perkayuan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Inisiatif FLR ini sekali gus menyokong kempen yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha penghijauan negara dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sehingga 2025.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kempen itu bertujuan menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.

Katanya, pokok yang ditanam akan memberi manfaat kepada semua hidupan di muka bumi iaitu memberikan oksigen dan menyejukkan persekitaran termasuk juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat ke-15 SDG (Matlamat Pembangunan Mapan) iaitu Life Of Land. Sehubungan itu, bagi memperkasakan lagi usaha dan melaksanakan program restorasi di seluruh Sarawak, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM62 juta kepada JHS dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Untuk terus memperkasakan lagi pelaksanaan program ini, kerajaan melalui JHS turut mengeluarkan arahan iaitu setiap syarikat pembalakan perlu melaksanakan aktiviti restorasi di kawasan lesen masing-masing untuk membolehkan mereka mendapat atau memperbaharui lesen pembalakan.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan program ini serta memastikan benih-benih pokok yang bernilai dan berkualiti tinggi sentiasa mencukupi, turut dibangunkan semula tiga tapak semaian sedia ada iaitu Hutan Simpan Sabal Simunjan, Pusat Penambahbaikan Pokok Sarawak di Sibu dan Stesen Penyelidikan Hutan di Niah.

Kerajaan Negeri juga turut membangunkan dua lagi tapak semaian yang baharu dan luas iaitu di Kayangeran Lawas dan Bintawa Kuching serta menggalakkan semua pihak untuk membangunkan tapak semaian masing-masing.

Semua usaha gigih ini adalah kerana Kerajaan Negeri ingin melihat Sarawak sebagai negeri yang seimbang dari segi pembangunan dan kelestarian alam sekitar pada masa hadapan.

Justeru, bagi menjayakan program penghijauan ini di masa hadapan, masyarakat tempatan diseru untuk terlibat secara aktif terutamanya dalam menubuhkan tapak semaian bagi membekalkan anak benih pokok tempatan yang komersial atau menyediakan perkhidmatan penanaman dan rawatan silvikultur.

Penglibatan sebegini secara langsung akan dapat menjana pendapatan kepada rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan dalam jangka masa panjang yang juga menyumbang kepada penghijauan Sarawak dan Malaysia secara amnya.