KUCHING: Terdapat enam kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, melibatkan lima kes di Bintulu dan satu kes di Lawas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 1,105 kes.

“Kes 1,100 yang dikesan di Lawas merupakan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan Covid-19 kerana ingin melakukan perjalanan ke Miri untuk melawat keluarga.

“Kes telah menjalani ujian RT-PCR pada 24 Disember dan keputusan adalah positif untuk COVID-19, kes tersebut kini di rujuk ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut tentang lima kes yang dikesan di Bintulu, tambah Uggah kesemua kes telah didapati positif Covid-19 pada 24 Disember lalu dan telah dirujuk ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes 1,101 melibatkan seorang lelaki warganegara Afrika Selatan yang menjalani saringan untuk pekerja kilang di Bintulu dan didapati positif Covid-19 setelah menjalani saringan kali kedua.

“Manakala kes 1,102 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Terengganu) yang telah menjalani saringan Covid-19 sebagai individu yang baharu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 iaitu dari Terengganu.

“Kes tersebut juga telah didapati positif Covid-19 setelah menjalani saringan kali kedua dan dikategorikan sebagai kes Import-B iaitu mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi Covid-19,” ujarnya.

Uggah memberitahu kes 1,103 pula merupakan seorang petugas kesihatan warga tempatan (Sarawak) yang menjalani saringan Covid-19 sebagai individu yang baharu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan iaitu dari Putrajaya.

“Manakala, bagi kes 1,104 ia merupakan seorang pelajar lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan Covid- 19 sebagai individu yang baharu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu dari Perak.

“Dan kedua-dua kes ini didapati positif setelah menjalani saringan kali kedua pada 24 Disember lalu serta dikategorikan sebagai kes Import-B,” jelasnya

Seterusnya, kata Uggah kes 1,105 merupakan seorang pelajar lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan Covid-19 sebagai individu yang baru balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu dari Kuala Lumpur.

“Kes ini tersebut juga didapati positif setelah melakukan saringan kedua pada 24 Disember lalu dan dikategorikan sebagai kes Import-B,” tegasnya.

Sebagai rekod, siasatan lanjut serta pengesanan kontak bagi kesemua kes berkenaan sedang giat dijalankan.