BAU: Sesuatu yang baharu untuk Sarawak terutamanya bagi Daerah Bau akan dilancarkan pada Sambutan 200 Tahun Sejarah Bau pada 31 Disember ini bertempat di Perkarangan Tasik Biru.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, pembaharuan itu akan didedahkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dijadualkan akan menyempurnakan sambutan tersebut pada jam 10 pagi.

“Salah satu adalah pelancaran tiang monumen 200 tahun sejarah Bau dan pameran seni bina yang kita namakan ‘Bau Lebih Hebat’ yang sebahagiannya mengenai cadangan pembinaan Muzium Perlombongan Bau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan 200 Tahun Sejarah Bau di Majlis Daerah Bau, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya sambutan tersebut menandakan langkah pertama menuju transformasi Daerah Bau selain untuk merayakan kewujudan tiga kaum utama di daerah tersebut selama 200 tahun dari 1820 hingga 2020 iaitu Bidayuh, Melayu dan Cina.

Tambahnya sambutan berkenaan menghadkan jemputan hanya untuk sekitar 600 orang kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi mengekang penularan Covid-19, bagaimanapun masyarakat tempatan dijemput hadir tetapi mesti mematuhi segala SOP yang ditetapkan.