KUCHING: Bendera Gabungan Parti Sarawak berkibar dengan megah di negeri ini sebagai tanda sokongan padu kepada parti pemerintah Kerajaan Sarawak.

Selepas memacak bendera di Zon Telaga Air dan Zon Santubong baru-baru ini, kini bendera GPS terpacak di semua 43 ranting PBB di seluruh kawasan Dun Pantai Damai.

Aktiviti yang dikelolakan Jawatankuasa PBB Cawangan Pantai Damai itu turut disertai ahli jawatankuasa PBB peringkat ranting. Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berbangga dengan komitmen ditampilkan jentera PBB di kawasan DUN Pantai Damai yang terlibatkan aktiviti memacak bendera GPS.

“Kita masih belum tahu bila tarikh pilihan raya negeri namun jentera kita sudah menunjukkan komitmen tinggi.

“Ia membuktikan jentera kita sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai menggesa pengundi memberi sokongan padu kepada GPS pada pilihan raya negeri akan datang.

“GPS serius membantu rakyat negeri ini termasuk usaha menuntut kembali hak Sarawak yang terhakis. “Kerajaan Sarawak di bawah GPS juga menghulurkan banyak bantuan kepada rakyat terutama ketika berlakunya penularan Covid-19 ketika ini,” ujarnya.

Menurutnya, hanya anak Sarawak sahaja yang mampu membangunkan negeri ini kepada tahap lebih tinggi terutama bagi mencapai negeri berpendapatan tinggi.