KUCHING: Pasar Sungai Maong, Batu 3 yang akan dinaik taraf diyakini mampu menarik lebih ramai masyarakat untuk membeli barangan keperluan di sini.

Pengerusi Majlis Pembandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang berkata, pasar berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah bandar.

Menurutnya, projek naik taraf pasar tersebut menelan belanja RM 10 juta dan merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pasar Sungai Maong, Batu 3 telah wujud 60 tahun yang lalu merupakan pasar yang kecil dan telah berubah seperti masa kini.

“Oleh itu, tiba masanya untuk ia diperbaharui dan dinaik taraf. Dalam masa yang sama, ia dapat menarik lebih ramai orang untuk ke sini,” katanya pada pemberita selepas upacara pemberkatan Tokong Lu Yi Pek Kong, Batu 3, hari ini.

Kata Khere Chiang, perincian mengenai perancangan pasar melibatkan pembesaran pasar dan menambah gerai penjaja akan dimaklumkan kemudian.

“Pembesaran pasar dan menambah jumlah gerai penjaja tersebut akan dipertimbangkan kerana ia bergantung kepada ruang sedia ada. Sekiranya dapat ditambah, kami akan lakukannya ,” jelas beliau.

Selain Pasar Sungai Maong, Batu 3, tambahnya, MPP juga akan menaik taraf dua lagi pasar iaitu Pasar Kota Sentosa, Batu 7 dan Pasar Kota Padawan, Batu 10.

Terdahulu, MPP telah mencadang untuk menaik taraf Pasar Sungai Maong, Batu 3, Pasar Kota Sentosa, Batu 7 dan Pasar Kota Padawan, Batu 10 di bawah inisiatif pembaharuan bandar.

“Inisiatif pembaharuan bandar adalah penting kerana ia akan memudakan pasar-pasar ini dan bandar sekitarnya, menjadikannya lebih rancak dan mampan dari segi ekonomi dengan pelbagai kesan pemangkin,” kata Khere Chiang pada sambutan Ulang Tahun Ke-24 MPP, 15 Disember lalu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.