SARIKEI: Anggota pelbagai pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei menderma darah bagi menampung keperluan bekalan darah Hospital Sarikei, semalam.

Program sebahagian khidmat sosial bomba selain melaksanakan tugas hakiki memadamkan kebakaran dan kerja-kerja menyelamat.

Sehubungan itu, Ketua Balai Bomba Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, program sebahagian sumbangan Bomba untuk menampung keperluan darah Hospital Sarikei.

“Penganjuran aktiviti kali ini mendapat sambutan memberangsangkan. Ramai hadir menghulurkan sumbangan.

“Saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang bermurah hati, sanggup berkorban masa memberikan sokongan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, program bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat selain menyemai rasa perihatin terhadap mereka yang memerlukan.

Katanya, sumbangan yang dihulur mungkin nampak kecil, namun memberi impak besar sehingga mampu menyelamatkan nyawa banyak insan lain.

“Kesedaran itu membuatkan kami terpanggil untuk menderma darah melalui kempen ini,” jelasnya.