BAU: Tiga lelaki warga tempatan dipercayai dalang kemasukan tujuh Pendatang asing tanpa izin (Pati) di Jalan Buso pada Jumaat lalu telah ditangkap polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Pogr Nyaon berkata, ketiga-tiga suspek ditahan hasil serbuan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bau di lokasi berasingan di kampung sama Pati ditahan.

Menurutnya, mereka (suspek) masing-masing berusia lingkungan 26, 28 dan 30 tahun.

“Kesemua tangkapan kini dalam tahanan reman.

“Mereka dituduh atas kesalahan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan kesalahan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM250,000.

Bagi Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 pula, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan tidak kurang tiga kali sebatan.